RANAU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kundasang, di sini, semalam hingga pagi tadi.
Operasi dijalankan di empat lokasi berasingan itu membabitkan 18 pegawai JIM Sabah dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah berkenaan.
Menurut kenyataan JIM Sabah, hasil pemeriksaan terhadap 78 individu, seramai 31 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Daripada jumlah itu, 16 adalah lelaki dewasa, 10 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
“Semua yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, semua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut dan tindakan susulan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, JIM Sabah menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI.
“Pada masa sama, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka,” katanya. – Info X