Search

Warga emas diperintah jalani pemerhatian mental

April 15, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu memerintahkan seorang warga emas yang dikaitkan dengan pembunuhan seorang wanita dikerat beberapa bahagian menjalani pemerhatian mental di Hospital Mesra Bukit Padang, di sini.

Majistret Dzul Elmy Yunus memerintahkan tertuduh, Piluta Samad, 71, menjalani pemerhatian mental selama 30 hari.

Penghakiman itu dibuat selepas Dzul Elmy membenarkan permohonan pasukan guaman mewakili tertuduh yang diketuai peguam Datuk Ram Singh ketika sebutan semula kes pada Rabu.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Ram memberitahu mahkamah beliau telah menemu bual Piluta dan nberdasarkan pemerhatian, mendapati daripada percakapan dan tingkah lakunya, terdapat keperluan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Mesra bagi pemerhatian pakar selama 30 hari dan jika perlu, dilanjutkan 30 hari lagi.

Peguam Joan Goh, Ian Vun dan Prem Elmer Ganasan turut mewakili tertuduh.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, berkata pihaknya masih menunggu dua laporan pakar iaitu laporan ahli kimia dan laporan bedah siasat, serta meminta masa sebulan sementara menunggu laporan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 Mei 2026 dan Piluta akan kekal ditahan sementara menunggu pelupusan kes.

Piluta didakwa membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan. – Info X