Search

32 warga asing ditahan dalam Ops Wilayah di Tawau, Semporna

November 10, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 32 warga asing termasuk lapan warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan besar-besaran di sekitar Tawau dan Semporna, kelmarin hingga semalam.

Operasi dikenali sebagai Ops Wilayah itu membabitkan pemeriksaan terhadap 324 individu termasuk warga tempatan, Indonesia dan Filipina di kedua-dua daerah berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi selama dua hari bermula Ahad lalu itu dilaksanakan menerusi Ops Jaja, Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Mahir.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 102 pegawai imigresen iaitu 60 anggota di Tawau dan 42 lagi di Semporna.

“Di Tawau, sebanyak enam premis diperiksa membabitkan 218 individu terdiri daripada 159 warga tempatan, 42 warga Indonesia dan 17 warga Filipina.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 24 warga asing terdiri daripada 14 warga Indonesia dan 10 warga Filipina.

“Di Semporna pula, seramai 106 individu diperiksa dengan lapan warga China ditahan menerusi Ops Mahir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sitti Saleha berkata, semua 32 warga asing terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 bagi tindakan lanjut.

Katanya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan di lokasi strategik seluruh negeri bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Operasi secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan semua warga asing mematuhi undang-undang imigresen negara.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu mana-mana warga asing yang melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X