Search

Lelaki mengamuk tular di media sosial positif dadah

November 10, 2026

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang lelaki yang tular di media sosial kerana sering mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam akhirnya ditahan polis di hadapan sebuah kedai kopi di daerah ini, semalam.

Lelaki tempatan berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Keningau kira-kira jam 3.30 petang selepas polis menerima aduan orang awam berhubung tindakannya yang mengganggu aktiviti harian masyarakat.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek ditahan di kawasan pekarangan hadapan Kedai Kopi Foo Nyen selepas tindakannya turut mendapat perhatian pengguna media sosial.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Keningau sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dua jenis dadah iaitu methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek kini ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan media.

Erwansyah berkata, pihaknya sentiasa memantau sebarang kegiatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menimbulkan keresahan masyarakat.

Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk di daerah berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan atau kejadian yang boleh mengganggu ketenteraman awam,” katanya. – Info X