Search

33 PATI ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Kota Kinabalu, Kudat

December 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen yang dijalankan di sekitar daerah ini dan Kudat, menerusi pelaksanaan Ops Jaja, Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu pada 16 Disember hingga semalam.

Operasi berkenaan digerakkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Kudat dengan kekuatan seramai 40 pegawai bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah hari ini, seramai 111 individu membabitkan warganegara Malaysia dan warga asing diperiksa sepanjang operasi dijalankan.

Daripada jumlah itu, 33 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu gagal memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Pecahan tangkapan membabitkan 19 lelaki dewasa warga Filipina, seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina, 12 wanita dewasa warga Filipina serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, menjadikan keseluruhan tangkapan seramai 20 lelaki dan 13 perempuan.

“Semua orang kena tahan (OKT) dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara. – Info X