Search

Sidang DUN: Tiada kompromi terhadap rasuah, integriti dan salah guna kuasa – Hajiji

December 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak berkompromi dan bertoleransi terhadap perkara yang membabitkan rasuah, integriti dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata integriti adalah isu yang perlu diberikan perhatian dan kerajaan bersetuju serta menyambut baik cadangan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Kerajaan Negeri tidak berkompromi dan mengamalkan zero tolerance dalam perkara yang melibatkan rasuah, integriti dan penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan DUN Sabah, pada Rabu.

Selain itu, Hajiji berkata komitmen kerajaan bagi memastikan semua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) ditadbir dengan berintegriti, telus dan berakauntabiliti dapat dilihat melalui beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Pertama, katanya melalui arahan beliau, semua Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar Kumpulan dan Pengurus Besar bagi Badan Berkanun Negeri (BBN) dan GLC perlu mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri mulai tahun depan.

“Langkah ini penting untuk memantau prestasi setiap agensi yang terlibat berhubung kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing.

“Kedua, penempatan pegawai kanan SPRM sebagai Penasihat Integriti kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri akan memastikan tadbir urus dan usaha-usaha anti rasuah dilaksanakan secara menyeluruh termasuklah meningkatkan pematuhan GLC terhadap usaha pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) di semua GLC,” katanya.

Ketiga, Hajiji berkata setiap GLC sudah diarahkan menubuhkan Unit Integriti dan Governans Negeri Sabah (IGU) yang berdiri sebagai entiti bebas melaksanakan empat fungsi teras seperti Pengurusan Aduan, Pematuhan, Tadbir Urus dan Integriti.

Usaha itu, katanya dipantau oleh Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui mesyuarat pemantauan dua kali setahun termasuk pelaporan aktiviti fungsi teras ke SPRM.

“Keempat, program-program pengukuhan integriti khusus kepada peneraju GLC akan dilaksanakan sepanjang tahun 2026 bagi memastikan pentadbiran berintegriti, telus dan berakauntabiliti dapat diamalkan di semua GLC negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri berkata bagi isu berhubung dakwaan salah laku dan pengurusan serta pelantikan dalam sebuah Syarikat Berkepentingan Kerajaan Negeri, semua dakwaan yang dirujuk masih dalam peringkat siasatan.

Kerajaan Negeri, katanya menegaskan bahawa sebarang pertimbangan atau keputusan yang dibuat adalah tertakluk sepenuhnya kepada pematuhan tadbir urus, integriti dan undang-undang.

“Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan apa-apa keputusan yang boleh menjejaskan keyakinan awam atau integriti institusi Kerajaan Negeri dan GLC.

“Justeru, sebarang kenyataan atau andaian yang mendahului hasil siasatan rasmi dan tidak berlandaskan fakta sahih boleh menjejaskan hak kepada proses yang adil selaras dengan prinsip keadilan semula jadi, natural justice dan undang-undang,” katanya. – Info X