Search

33 PATI ditahan di Tawau

December 7, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Operasi Bersepadu Siri 8 yang dijalankan di daerah ini bermula 4 Disember lalu hingga semalam.

Operasi yang dikoordinasi oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) itu turut menahan dua wanita kerani disyaki memiliki dadah jenis ketamin seberat 27.2 gram.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi yang dijalankan serentak itu membabitkan komponen lautan dan daratan.

Katanya, seramai 1,126 individu dan 54 buah bot di sekitar kawasan operasi diperiksa oleh pihak berkuasa yang terbabit.

Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dokumen salah seorang wanita ketika menjalankan Operasi Bersepadu Siri 8 di Tawau. – Foto/ESSCOM

“Daripada jumlah itu, 33 PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dua wanita ditahan mengikut Seksyen 37B (1) ADB 1952 dan turut dirampas dadah jenis ketamin seberat 27.2 gram,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, terdapat dua kompaun membabitkan kes berjaja tanpa lesen mengikut kesalahan undang-undang kecil 73, General By Law 1957.

“Selain itu, masing-masing satu kes mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, Peraturan-peraturan Kawalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Majlis Perbandaran Tawau (MPT) pula mengeluarkan empat notis dan nilai keseluruhan rampasan dalam operasi bersepadu kali ini adalah sebanyak RM2,280,” katanya.

Operasi dijalankan serentak membabitkan komponen lautan dan daratan di Tawau. – Foto/ESSCOM

Beliau berkata, sasaran utama operasi ini adalah di jeti, premis perniagaan, jeti lama dan pasar ikan dengan memfokuskan kesalahan-kesalahan berkaitan barang kawalan serta bersubsidi di pasaran.

Sehubungan itu, Victor menzahirkan penghargaan kepada 200 petugas pelbagai agensi yang terbabit dan ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan menerusi Operasi Sanggah ESSCOM.

“ESSCOM akan terus mempergiat operasi bersepadu di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan.

“Saya menyeru masyarakat di ESSZONE supaya dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan insiden keselamatan di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – Info X