Search

Tiga kanak-kanak lemas dalam kolam tapak pembinaan

December 7, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Tiga kanak-kanak termasuk seorang perempuan ditemui lemas selepas dipercayai mandi di dalam kolam tapak pembinaan di Kampung Perpaduan Ria 1, di sini, petang tadi.

Mangsa lelaki dikenali sebagai Wan Hermi, 11 dan Mohd Syahwan, 7, manakala kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nurul Isah, 11.

Difahamkan ketika kejadian, tiga kanak-kanak terbabit dipercayai mandi di dalam kolam yang digali untuk tujuan pembinaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.36 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan telah dibawa keluar dari kolam oleh orang awam.

“Ketiga-tiga mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan dan pasukan EMRS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Maklumat yang diperoleh daripada pihak perubatan hospital mengesahkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia,” katanya. – Info X