Search

34 sambungan paip haram di Suang Parai dipotong

March 9, 2023

admin

KOTA KINABALU: Walaupun operasi pemotongan sambungan paip air tanpa meter kerap dilakukan di kawasan Kampung Suang Parai, Manggatal, di sini namun kegiatan itu masih lagi berlarutan.

Ini terbukti apabila sebanyak 34 sambungan paip air haram dikenal pasti yang ditebuk melalui paip agihan dalam operasi bersepadu pemotongan sambungan haram tanpa meter di kawasan berkenaan, hari ini.

Pegawai Penguatkuasa JANS memotong paip air yang disambung secara haram pada paip agihan di kawasan Kampung Suang Parai, Manggatal, Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Baharom Sogon berkata, pihaknya melakukan operasi bersepadu pemotongan sambungan haram tanpa meter di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil operasi itu, sebanyak 34 sambungan haram yang ditebuk melalui paip agihan dipotong oleh pegawai penguatkuasaan JANS.

“Dalam operasi itu juga, JANS turut merampas sebanyak 12 unit pam air yang digunakan untuk menambah kadar aliran air ke kawasan penempatan setinggan Kampung Bakau berhampiran paip aliran berkenaan.

“Semua sambungan haram berkenaan dikenal pasti ditebuk melalui paip agihan yang membekalkan air kepada penduduk yang mempunyai meter air berdaftar di kawasan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Pegawai dan anggota JANS merampas paip dan 12 Unit pam air yang digunakan untuk menambah kadar aliran air ke kawasan penempatan setinggan berhampiran.

Menurutnya, penyambungan paip air haram ini antara punca yang menyebabkan tekanan air yang rendah di kawasan berkenaan.

“Lebih parah lagi kegiatan penyambungan haram yang membabitkan kawasan setinggan itu juga menyebabkan Kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) di ibu negeri mencecah 38 peratus.

“JANS sebelum ini kerap melakukan operasi pemotongan di kawasan ini bagaimanapun masalah ini masih lagi berlarutan disebabkan faktor kawasan setinggan yang berhampiran dengan kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, iperasi seumpama ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dan isu penyambungan haram terutamanya yang membabitkan utiliti memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak serta agensi berkaitan bagi memastikan masalah ini dapat diselesaikan.

“Usaha ini juga mampu memastikan penyampaian perkhidmatan bekalan air terawat yang berterusan kepada pengguna,” katanya. – Info X