KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, konsep Malaysia Madani perlu difahami merentasi semua sektor serta selari dengan suasana dan kepelbagaian kaum yang wujud di Sabah.
Katanya, perkara itu penting bagi mencipta lonjakan baharu yang lebih yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur dalam konteks pembangunan negeri selain bersesuaian dengan keperluan negeri ini yang mempunyai lebih 30 suku etnik.
“Usaha untuk menghayati konsep ini amatlah penting sebagai landasan asas kepada kita semua untuk sama-sama mencipta lonjakan baharu yang lebih harmoni, sejahtera, adil dan makmur.
“Justeru, konsep ini amat bersesuaian dengan suasana dan keperluan di negeri ini yang mempunyai lebih 30 etnik,” katanya ketika berucap merasmikan forum Malaysia Madani anjuran Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) di pusat konvensyen antarabangsa sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, selain bangga menjadi negeri terawal yang aktif menganjurkan forum dan seminar berkaitan konsep Malaysia Madani, beliau yakin usaha itu akan turut disambut oleh pertubuhan badan bukan kerajaan yang lain termasuk institut pengajian tinggi di negeri itu bagi manfaat seluruh ahli yang bernaung di bawahnya.
“Saya percaya akan ada lagi persatuan, NGO dan pihak institut pengajian tinggi (IPT) awam dan IPT swasta termasuk agensi kerajaan, akan menganjurkan seminar, forum dan bengkel yang mengupas lebih lanjut dan mendalami konsep Malaysia Madani demi manfaat ahli-ahli, para pelajar, graduan dan kakitangan kerajaan”, katanya. – Info X