Search

350 petani sertai kursus tanam bawang di Sook

May 26, 2025

Info X Reporters

SOOK: Seramai 350 petani dari sekitar daerah ini menyertai Kursus Teknologi Penanaman Bawang anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di sini, pada Ahad.

Kursus ini meliputi pelbagai topik penting seperti pengadaptasian varieti mengikut agroklimat negara, penanaman secara skala besar dan pengurusan perosak serta penyakit, cara pengendalian hasil lepas tuai dan kajian risikan pasaran domestik serta antarabangsa.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata kursus itu dirancang sebagai platform pendedahan awal kepada penduduk tempatan mengenai potensi ekonomi dalam penanaman bawang merah.

Mohd Zabawi (berdiri tiga kanan) bersama peserta kursus penanaman bawang merah di Sook.

“Program ini adalah cetusan idea Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang melihat ia mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti luar bandar, khususnya di Sabah dan kawasan berpotensi tinggi yang lain.

“Melalui program ini, peserta diberi pendedahan aktiviti amali penanaman bawang merah bagi membolehkan mereka memahami teknik penanaman secara praktikal.

“Usaha yang sedang dijalankan ini adalah bukti nyata komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kursus itu yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook, Pekan Sook, di sini, pada Ahad.

Turut hadir Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Willy Leong.

Kursus itu turut menampilkan sesi perkongsian pengalaman oleh Shahrizal Denci, yang sudah memulakan usaha penanaman bawang varieti MARDI BAW-2 tahun lalu di kawasan seluas empat hektar di Kundasang.

Zabawi berkata, MARDI kini sedang giat untuk mempercepatkan proses pengkomersialan dan pengedaran benih bawang dengan memperbanyak bahan tanaman bagi tujuan agihan kepada agensi-pengembangan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dan petani yang terlibat dalam penanaman bawang merah.

“Sehubungan itu, seramai 15 usahawan benih bawang merah MARDI telah dilantik di seluruh negara bagi menjayakan pengeluaran awal benih, termasuk dua orang usahawan dari negeri Sabah.

“Selain Shahrizal, dua lagi petani di Sabah sedang dibangunkan di bawah projek perintis MARDI ini. Setiap petani dijangka mampu menghasilkan antara satu hingga dua tan metrik setiap musim dan jumlah ini akan meningkat apabila teknologi serta amalan terbaik diterapkan secara meluas.

“Kita juga berharap kursus ini akan dapat melahirkan lebih ramai usahawawan bawang khususnya di negeri Sabah ini,” katanya.

Sementara itu, peserta kursus, Paula Kium, 51, dari Kampung Bunang Ulu, di sini, berkata beliau berminat untuk mengusahakan tanaman bawang setelah melihat kejayaan penanamannya di Kundasang.

Paula Kium

Beliau yakin boleh berjaya setelah mendapat tunjuk ajar mengenai teknik penanaman dan penjagaan dari pegawai MARDI sepanjang kursus itu.

“Teknik-teknik yang diajar tidaklah sukar, cuma perlukan usaha yang lebih dan saya berharap pihak MARDI dapat membekalkan benih yang sesuai bagi saya memulakan penanaman tidak lama lagi, sekali gus dapat menuai hasilnya secepat yang mungkin,” katanya.

Bagi Damil Ungabu, 40, dari Kampung Sakikilo, di sini, beliau berkata kursus itu membuka matanya mengenai potensi tanaman bawang untuk dijadikan sumber pendapatan yang lumayan.

Damil Ungabu

Beliau yang juga Penolong Jurutera di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau, berkata cara penanaman dan penjagaan yang tidak rumit serta tempoh matang yang singkat membolehkan sesiapa saja mengusahakan tanaman bawang termasuk dirinya yang telah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pegawai kerajaan.

“Selepas kursus ini, saya bercadang untuk mengusahakan tanaman ini di tanah seluas lima ekar milik keluarga di Sook ini bagi dijadikan mata pencarian kekal pada masa hadapan,” katanya.

Pada masa sama, Sakim Ibrahim, 60 yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sook, berharap kursus itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat khususnya di daerah Sook.

Sakim Ibrahim

Beliau berkata, peluang diberikan itu yang hanya datang sekali seumur hidup mampu membantu menaik taraf sosioekonomi penduduk yang rata-ratanya bekerja sebagai petani.

“Sekiranya mereka mengikuti segala yang telah diajar pada kursus ini dengan betul, tidak mustahil Sook akan menjadi hab dan contoh amalan terbaik penanaman bawang di negeri Sabah ini,” katanya. – Info X