TAWAU: Berang ditegur kerana pergi berhibur, seorang lelaki dikatakan menumbuk isterinya hingga cedera dalam kejadian di sebuah hotel di daerah ini, semalam.
Kejadian pada jam 4.39 pagi itu mengakibatkan mangsa yang juga berusia 30-an cedera di bahagian kepala dan badannya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, akibat kejadian itu, wanita terbabit tampil membuat laporan polis.
Katanya, susulan laporan yang dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan bagi mengesan suspek.
“Suspek warga tempatan berusia 30-an berjaya dikesan di perkarangan Lapangan Terbang Tawau.
“Suspek terus ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, punca pergaduhan pasangan terbabit disebabkan suami pergi berhibur di sebuah pusat hiburan.
“Hasil siasatan jenayah lampau juga mendapati suspek pernah dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – Info X