KOTA KINABALU: Empat individu yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Upik dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi, di sini pada Selasa.
Tertuduh, Mahathir Jibarail, 49; Manan Ungok @ Salleh, 52; Mohd Faridzul Asmahadi, 32 dan Mohd Fikrie Asme, 29 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng.
Keempat-empat tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 130W Kanun Keseksaan kerana membantu kumpulan jenayah terancang Geng Upik.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen itu antara 2015 hingga 2023.
Seksyen 130W memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Manan ditangkap pada 7 Januari 2025, manakala Faridzul dan Mahathir ditahan pada 25 Disember 2023 dan Mohd Fikri pada 12 Oktober 2023.
Sebelum ini keempat-empat tertuduh didakwa bersama 11 lagi individu sebagai ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik sejak tahun 2015 hingga 2023.
Tertuduh lain ialah Datuk Maslan Sani, 41; Fazrul Bahar, 32; Norsyafilah Pawawoi, 27; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Zulkahar Dusing, 38; Nelson Yen Yee Chung, 46; Alkan Abraham, 35; Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45; Mohd Fauzie Rablin, 33; dan Mazlan Mahmud, 41.
Pertuduhan asal sebelum ini dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan berikutan risikan terhadap kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Upik yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Siasatan polis mendapati tertuduh membantu Geng Upik dalam kegiatan pengedaran dadah di Sabah bagi mencapai kepentingan kumpulan itu untuk memperoleh faedah material.
Hasil siasatan juga mendapati Geng Upik terlibat dalam pengedaran dadah berbahaya dalam beberapa kes jenayah serius termasuk rampasan 4.6 kilogram methamphetamine di Manggatal dan 53 kilogram methamphetamine di Tawau.
Satu lagi tangkapan membawa kepada sabitan kesalahan seorang ahli kumpulan, Syafilah Pawawoi, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, manakala seorang lagi ahli kumpulan, Zulkahar Dusing, turut ditangkap dan kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Tawau.
Kedua-dua kes didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan.
Tertuduh pula, iaitu Mahathir, Manan dan Mohd Faridzul diwakili peguam Shahlan Jufri, manakala Mohd Fikrie diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin. – Info X