Search

DBKK digesa pantau semua pokok besar

March 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa meningkatkan pengurusan pokok di bandar raya ini, khususnya di sepanjang Jalan Tuaran berikutan banyak pokok besar dan tua.

Menyuarakan gesaan itu, Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong, berkata insiden pokok tumbang dan menghempap dua kereta di Jalan Tuaran, di Likas, di sini, pagi tadi, menunjukkan perlunya tindakan segera diambil.

Katanya, insiden yang berlaku ketika cuaca baik, tanpa hujan atau angin kencang perlu diberikan perhatian bagi memastikan insiden itu tidak berulang.

“Insiden ini menunjukkan perlunya tindakan segera diambil DBKK untuk meningkatkan usaha pengurusan pokok di sepanjang Jalan Tuaran.

“Banyak pokok besar dan tua di sepanjang jalan ini yang memerlukan pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala bagi mengelak bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, insiden pokok tumbang di laluan berkenaan bukan perkara baharu, malah pada Mei tahun lalu kejadian sama berlaku dekat Sekolah Menengah Kian Kok, Likas ketika hujan lebat.

Berikutan itu, katanya penyelenggaraan pokok secara konsisten sangat penting tanpa mengira keadaan cuaca.

Samuel juga meminta agar penyelenggaraan pokok besar dilaksanakan DBKK di seluruh kawasan bandar raya demi keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam insiden pagi tadi, dua beranak dilaporkan cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang. – Info X