Search

4 disyaki terbabit edar dadah jenis cecair vape ditahan

October 6, 2023

Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Polis menahan empat lelaki tempatan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis cecair vape dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan Putatan, pada Selasa lalu.

Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang turut merampas 31 botol cecair vape mengandungi dadah jenis ganja bernilai RM5,600.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, serbuan pertama dijalankan pada 10 malam di sebuah perumahan di Jalan Bundusan, di sini.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah jenis cecair vape.

Sebanyak 31 botol cecair vape mengandungi dadah yang dirampas polis. – Foto/PDRM

“Pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemui satu botol plastik mengandungi dadah di dalam genggaman tangan suspek.

“Soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah kediaman di lokasi perumahan yang sama dan menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 31 tahun.

“Kedua-dua suspek itu adalah rakan kepada suspek pertama yang ditahan dan pemeriksaan menemui satu kotak mengandungi empat kotak berisi cecair jernih disyaki dadah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat lanjut ke atas ketiga-tiga suspek membawa kepada sebuah ketiga di tepi jalan Kampung Dumpil, Putatan, jam 12.05 pagi, kelmarin.

“Dalam operasi itu menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan merampas lima kotak berisi cecair vape disyaki mengandungi dadah.

“Seterusnya polis menjalankan serbuan dan pemeriksaan lanjut di kediaman suspek di Putatan dan menemui satu kotak besar berisi 21 botol plastik yang mengandungi cecair vape disyaki dadah di bilik tidur,” katanya.

Sammy berkata, semua suspek dibawa ke pejabat BSJN Penampang dan hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis THC (ganja).

“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 31 botol cecair vape yang disyaki mengandungi dadah yang bernilai RM5,600.

“Semakan rekod lampau ke atas semua suspek mendapati hanya seorang tangkapan mempunyai enam rekod lampau atas kesalahan dadah,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam kes berlainan, Sammy berkata seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang memiliki sembilan rekod jenayah dadah ditahan atas kesalahan yang sama dalam serbuan di sebuah apartment di Jalan Bundusan, di sini, 1 Oktober lalu.

Dadah jenis syabu yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki di Penampang. – Foto/PDRM

Katanya, susulan penahanan suspek terbabit, polis merampas dadah jenis erimin dan syabu serta peralatan membungkus dadah.

“Keseluruhan rampasan dadah bernilai RM10,200 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X