KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di kebun Kampung Batu 27, Jalan Keningau-Tenom, di sini, ditemui selamat, pagi tadi.
Mangsa Aydden Lo Jie Lie, 2, dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 9 pagi tadi sebelum pasukan bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi terakhir kanak-kanak itu kelihatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung seorang kanak-kanak hilang di kawasan kebun pada 9.33 lagi.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi SAR di kawasan rumah dan kebun.
“Mangsa berjaya ditemui dengan keadaan selamat oleh pasukan bomba pada 10.13 pagi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit ditemui dalam keadaan selamat di dua kilometer dari rumah keluarganya.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada ahli keluarganya.
“Operasi ditamatkan pada 10.16 pagi,” katanya. – Info X