Search

4 ditahan, polis rampas syabu 2.13 kg

July 11, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan pantas polis berjaya mematahkan cubaan pengedaran dadah selepas menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 2.13 kilogram (kg) bernilai RM74,500 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, pada 7 Julai lalu.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 11.30 pagi, tiga lelaki ditahan dalam sebuah bilik stor bengkel di Kampung Tator Hill Top selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan lanjut menemui kotak coklat berbalut pita pelekat putih yang mengandungi dua bungkusan plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu seberat 2,129.86 gram.

“Hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek membawa kepada tangkapan suspek keempat iaitu lelaki tempatan yang ditahan di kawasan parkir Lapangan Terbang Tawau pada jam 1.30 petang hari sama.

“Semua suspek berusia antara 29 hingga 64 tahun membabitkan warganegara tempatan dan asing,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Syabu seberat 2.13 kilogram dirampas polis dalam dua serbuan berasingan di Tawau.

Menurutnya, siasatan mendapati tiga daripada suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala suspek keempat mempunyai dua rekod lampau berkaitan Seksyen 324 dan Seksyen 506/324 Kanun Keseksaan.

“Ujian air kencing ke atas keempat-empat suspek juga didapati negatif dadah.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 9 Julai hingga 15 Julai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata polis giat mengesan rangkaian pengedaran dadah lain yang mungkin berkait rapat dengan kes ini.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pengedaran, pemilikan atau penyalahgunaan dadah. Tindakan tegas akan diambil.

“Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di daerah ini,” tegasnya. – Info X