Search

146 pelajar cemerlang STPM terima honorarium RM1,000

July 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 146 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di negeri ini menerima penghargaan berupa honorarium sebanyak RM1,000 seorang, manakala RM3,000 kepada seorang pelajar cemerlang peringkat kebangsaan.

Inisiatif Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) itu sebagai penghargaan atas kejayaan pelajar terbabit mendapat keputusan 4 A dalam peperiksaan STPM tahun lalu, selain sebagai galakan kepada pelajar lain untuk berusaha mencapai keputusan cemerlang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Arif yang menyampaikan honorarium kepada sebahagian pelajar terbabit, berkata inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan terhadap bidang pendidikan menerusi penyediaan pelbagai program, insentif dan bantuan.

Katanya, honorarium itu dijanjikan TPNS dan diluluskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan pelajar terbabit dalam STPM.

“Pelajar terbabit mendapat RM1,000 setiap seorang atas kejayaan mendapat 4 A, termasuk seorang yang cemerlang di peringkat kebangsaan dari SMK Kota Klias, Beaufort yang kita berikan RM3,000 kerana kecemerlangan beliau di peringkat kebangsaan dalam STPM 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan honorarium kepada 74 pelajar cemerlang STPM 2024 dari pantai barat utara, pantai barat selatan dan pedalaman di Dewan Saadah, Wisma MUIS, di sini, pada Jumaat.

Selain pelajar cemerlang STPM, Arifin turut menyampaikan honorarium RM1,000 seorang kepada 22 pelajar cemerlang yang mendapat Band 5 dalam Malaysian University English Test (MUET).

Beliau turut menyampaikan bantuan sekali bayar kepada 27 pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) serta bantuan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) kepada beberapa penerima dengan jumlah keseluruhan menerima sumbangan disampaikan Arifin pada kali ini lebih 170 orang.

Sementara itu, Arifin yang juga EXCO Pendidikan negeri mengumumkan satu lagi inisiatif terbaharu kerajaan negeri menanggung yuran pelajar yang mengikuti MUET bagi meringankan tanggungan keluarga pelajar terbabit pada tahun ini.

“Kita tambah lagi dengan inisiatif baharu iaitu BAYU atau Bantuan Yuran Untuk MUET iaitu RM150 seorang untuk 8,000 orang dengan kos hampir sejuta kita berikan.

“Ertinya anak-anak kita yang mengambil peperiksaan MUET tidak lagi membayar yuran sendiri tapi ditanggung oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Arifin berkata seramai 146 pelajar cemerlang STPM tahun lalu akan diberi keutamaan Biasiswa Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pelajaran.

Katanya, setiap tahun biasiswa berkenaan ditawarkan kepada 4,000 orang pelajar cemerlang di Sabah, selain Biasiswa serta pinjaman Yayasan Sabah dan bantuan pendidikan Baitulmal Sabah. – Info X