KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Inanam dan Luyang, dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari yang berakhir awal pagi tadi.
Operasi yang bermula 10 Julai hingga 11 Julai itu membabitkan 38 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu, yang melancarkan beberapa siri serbuan dikenali sebagai Operasi Mahir, Kutip, Selera, Belanja dan Sapu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi digerakkan hasil risikan dan aduan orang awam.
Katanya, serbuan menyasarkan premis perniagaan, rumah kediaman dan lokasi tumpuan warga asing yang dipercayai menggaji atau menempatkan individu tanpa dokumen sah.
“Antara yang ditahan ialah 17 warga China (16 lelaki dan seorang wanita), enam lelaki warga Pakistan, serta 12 warga Filipina (10 lelaki dan dua wanita).
“Semua PATI terbabit disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, antaranya tidak memiliki pas atau permit sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, serta melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Sementara itu, beliau berkata JIM Sabah menegaskan bahawa usaha membanteras kehadiran PATI akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
“Operasi penguatkuasaan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya. – Info X