Search

Pemandu, kelindan cedera selepas lori simen rempuh bangunan

July 11, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pemandu lori simen cedera selepas kenderaan berat itu terbabas dan melanggar sebuah bangunan di Jalan Apas, Batu 5, di sini, hari ini.

Kejadian turut menyebabkan kelindan lori berusia 36 tahun cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba II, Jemishin Ujin berkata, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 8.50 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah lori simen terbabas sendiri lalu melanggar bangunan pejabat KKRMC Trading Sdn Bhd.

“Pemandu lori berusia 60 tahun dan kelindannya cedera, namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian mengambil maklumat berkaitan dan membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya yang wujud.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.14 pagi,” katanya. – Info X