Search

18 PATI dihantar pulang

July 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, sepanjang minggu pertama dan kedua Julai ini.

Pemindahan yang dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu itu membabitkan enam warga Filipina, lima warga China, empat warga Pakistan, dua warga Thailand dan seorang warga Indonesia.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha binti Habib Yussof berkata, semua PATI terbabit daripada depot-depot Imigresen Sabah.

“Semua PATI sebelum ini menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Mereka dihantar pulang selepas melengkapkan dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehingga kini, seramai 6,311 orang bukan warganegara telah berjaya dipindahkan ke negara asal melalui pintu masuk negeri Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan pas lawatan atau permit yang diberikan.

Katanya, tindakan tegas termasuk pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana majikan atau pemilik premis yang menggaji PATI tanpa dokumen sah termasuk individu yang melanggar syarat pas seperti termaktub dalam Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.