Search

4 kampung dinaiki banjir, 11 keluarga dipindahkan

December 12, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air, sekali gus memaksa sebahagian penduduk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS).

Kampung terjejas ialah Kampung Garinono dan Kampung Pertanian di Batu 25 serta Kampung Jaya Bakti dan Kampung Memanjang.

Seramai 11 keluarga melibatkan 22 mangsa dari Kampung Garinono dan Kampung Pertanian dipindahkan ke PPS yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Pertanian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sandakan, Sulaiman Salama, berkata peningkatan paras air menyebabkan beberapa rumah terjejas.

Di Kampung Jaya Bakti dan Kampung Memanjang, katanya, paras air menunjukkan trend penurunan dengan kira-kira 30 rumah terjejas, termasuk enam ditenggelami air, namun tiada pemindahan dilakukan setakat ini.

“Tiada laluan terputus. Jalan di Kampung Jaya Bakti dinaiki air hingga paras lutut tetapi masih boleh dilalui semua jenis kenderaan,” katanya.

Menurutnya, operasi pemantauan dan pemindahan membabitkan agensi keselamatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus bersiap siaga sekiranya pemindahan tambahan diperlukan. – Info X