KOTA KINABALU: Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Lahad Datu dilancarkan secara rasmi hari ini bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik di Pantai Timur, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelancaran BESS Lahad Datu di bawah seliaan Sabah Electricity (SE) adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan rakyat terus menikmati bekalan elektrik yang stabil, mencukupi dan mampu milik.
“Ini adalah satu pencapaian penting bagi Sabah kerana BESS Lahad Datu menjadi fasiliti penyimpanan tenaga terbesar bukan saja di negara ini tetapi juga di Asia Tenggara.
“Ia direka untuk meningkatkan kestabilan grid, mengurangkan kebergantungan kepada diesel dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui di negeri ini,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada majlis pelancaran BESS Lahad Datu yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata selain BESS, beberapa langkah strategik turut dirancang dengan sebahagiannya telah dilaksanakan di bawah Pelan Induk dan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi panduan utama hala tuju tenaga Sabah, dengan menekankan tiga prinsip teras: keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.
“Semua inisiatif ini penting dalam memastikan kemajuan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata peralihan kuasa regulatori bekalan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada Januari 2024 membolehkan negeri menggubal dasar serta peraturannya sendiri dan mempercepatkan pelaksanaan projek tenaga yang disesuaikan dengan keperluan setempat di bawah seliaan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Kerajaan Negeri juga, katanya telah meluluskan hampir 1,000 megawatt (MW) kapasiti baharu merangkumi pelbagai sumber termasuk hidro, solar dan angin.
Bagi meningkatkan lagi penjanaan tenaga di Sabah, beliau berkata ECoS melancarkan bidaan Solar Skala Besar (LSS) yang menyasarkan pembangunan loji jana kuasa solar antara 1MWac hingga 15MWac pada 2024.
Daripada bidaan itu, sebanyak 15 projek dengan jumlah kapasiti 199MW – 113MW di Pantai Barat dan 86MW di Pantai Timur telah diluluskan.
“Dengan projek sedia ada termasuk yang sedang dilaksanakan, kapasiti LSS di Sabah dijangka melebihi 350 MW menjelang 2027, iaitu bersamaan 23 peratus daripada keseluruhan campuran kapasiti penjanaan elektrik negeri.
“Satu lagi projek Solar Fotovolta Skala Besar (LSSPV) di Kota Marudu yang dijangka siap pada 2026 akan terus meningkatkan kapasiti tenaga Sabah,” katanya.
Hajiji turut berkata teknologi penyimpanan tenaga perlu diperkenalkan di beberapa lokasi strategik bagi mengurangkan gangguan elektrik serta menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dengan grid utama.
Beliau berkata Sabah Electricity sedang bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Elektrifikasi Tenaga Boleh Diperbaharui Sabah (SabahRE2) dan memperluas akses elektrik ke kawasan luar bandar serta pedalaman.
“Kerajaan Negeri kekal teguh dalam komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan, kestabilan dan daya tahan jangka panjang sistem bekalan elektrik negeri.
“Menyedari ia sebagai faktor penting dalam menarik dan mengekalkan pelaburan domestik dan antarabangsa, kerajaan melalui kerjasama Sabah Electricity, ECoS dan agensi persekutuan komited untuk membangunkan ekosistem tenaga yang selamat, futuristik dan mesra pelabur,” katanya.
Ketua Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Sabah Electricity atas kejayaan meraih beberapa anugerah di Project Management Award (PMA) 2025, sebuah majlis penghargaan peringkat serantau yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sabah Electricity memenangi beberapa anugerah melalui projek BESS yang diiktiraf atas impaknya yang tinggi dalam sektor utiliti dan tenaga. – Info X