Search

4 lelaki terjun laut dihampiri APMM disyaki guna bom tangkap ikan

January 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat lelaki nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan di barat laut Pulau Manukan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, semua suspek bertindak demikian sebaik bot mereka naiki dihampiri APMM Kota Kinabalu yang menaiki sebuah bot ronda.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim Kilat 36 yang dalam siri Operasi Sejahtera mengesan bot nelayan bersama empat kru.

“Ketika bot peronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, bot nelayan terus memecut laju melarikan diri sebelum pasukan operasi bertindak mengejar.

“Semua kru bot nelayan kemudian terjun ke laut untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peralatan yang dipercayai digunakan untuk menangkap ikan menggunakan kaedah bahan letupan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan untuk menyelam ditemui bersama muatan ikan yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati keputusan bedah siasat awal di lokasi menunjukkan ikan terbabit ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Bot nelayan, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dianggarkan berjumlah 200 kilogram itu dirampas dan dibawa ke Jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah kira-kira RM17,000.

Keadaan perut ikan yang hancur selepas disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama.

Sementara itu, katanya aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan ini boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin pupus.

“Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan – peraturan yang ditetapkan.

“Orang awam juga dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencurigakan di perairan negara.

“Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi MN Sabah 088-270165 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut,” katanya. – Info X