KOTA BELUD: Polis Kota Belud menahan beberapa penunggang motosikal dipercayai terbabit aktiviti samseng jalanan dalam Op Ambang Tahun Baharu di sekitar Jalan Kudat Bypass, awal pagi tadi.
Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Belud, Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa berkata, operasi dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi itu dijalankan hasil aduan orang awam dan risikan.

“Hasilnya, 13 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan penunggang berusia 16 hingga 23 tahun.
“Empat motosikal ditahan mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan jalan raya selaras usaha Polis Diraja Malaysia mencegah aktiviti samseng jalanan. – Info X