Search

Kanak-kanak maut, tiga parah insiden dua kenderaan di Semporna

January 1, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut manakala tiga lagi individu cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Tampi-Tampi, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu wanita berusia 20 tahun dan sebuah motosikal yang ditunggang lelaki berusia 35 tahun.

Katanya, motosikal berkenaan membawa tiga pembonceng seorang lelaki dewasa berusia 28 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan empat tahun, yang juga anak kepada penunggang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda yang sedang membelok masuk ke simpang jalan di sebelah kanan telah dilanggar oleh motosikal yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang serta dua pembonceng lain mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tan berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak mengalami kecederaan serius.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Semporna, Inspektor Hemkkumar Ayathuray di talian 012-365 0021 atau Balai Polis Semporna di talian 089-782 020, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X