Search

4 rumah musnah akibat kebakaran, 30 mangsa sehelai sepinggang

May 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Empat rumah di Kampung Sarayo, Jalan Kayu Madang, di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi, mengakibatkan kira-kira 30 penghuni tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Timbalan Penguasa Bomba II, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.33 malam.

Katanya, sepasukan 23 pegawai dan anggota dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Tuaran digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.

“Kebakaran membabitkan empat rumah dan sebaik bomba tiba operasi pemadaman menggunakan dua pancutan dari sumber air dari tangki jentera.

Anggota bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Sarayo, Jalan Kayu Madang, Kota Kinabalu. – Foto/Bomba

“Empat rumah musnah terbakar dan operasi memadam kebakaran terkawal jam 12.34 tengah malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud, operasi ditamatkan pada jam 2.31 pagi.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X