BEAUFORT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort membantu 27 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong, di sini, kembali ke asrama berikutan banjir yang masih menjejaskan perhubungan beberapa kampung, pada Rabu.
Pelajar terbabit dibawa menaiki trak APM dari kampung masing-masing untuk dihantar ke asrama SMK Gadong bermula pada pagi hingga tengah hari.

Difahamkan, sebahagian kampung di daerah ini, khususnya di hilir Sungai Padas dalam kawasan DUN Lumadan masih terjejas akibat banjir yang melanda sejak akhir minggu lalu.
Sementara itu, setakat petang ini seramai 287 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan kekal Selagon, manakala satu PPS di Dewan Residensi Prima ditutup setelah kediaman mangsa dilaporkan selamat untuk mereka pulang.

Situasi banjir di daerah ini semakin pulih dengan sebahagian besar kawasan dinaiki air di sekitar pekan sudah surut sepenuhnya. – Info X