TAWAU: Empat lelaki warga asing tidak sempat sorok 40 bilah pisau taji apabila ‘port rahsia’ mereka di Kampung Apas Parit, di sini, diserbu pihak berkuasa dalam operasi khas, semalam.
Serbuan jam 3 petang itu dilakukan sepasukan anggota Wildlife Crime Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pemeriksaan dalam rumah tidak bernombor itu menemui 40 bilah pisau taji yang disembunyikan di lokasi berkenaan.
“Ketika serbuan, keempat-empat suspek berusia 31 hingga 52 tahun berada dalam rumah terbabit. Polis memperkenalkan diri sebelum menahan mereka dan menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasilnya, 40 bilah pisau taji ditemui dipercayai disimpan tanpa sebarang kebenaran sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati hanya seorang daripada mereka memiliki pasport sah, manakala tiga lagi gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah.
“Semua suspek bekerja sebagai buruh di kawasan sekitar dan tidak memiliki rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Champin turut menegaskan, pemilikan senjata berbahaya seperti pisau taji adalah satu kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran.
“Orang ramai juga digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis,” katanya. – Info X