Search

Lelaki ditahan, ‘tapuk’ senjata api buatan sendiri dalam semak

July 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang lelaki tempatan menyimpan senjata api tanpa lesen membawa padah apabila dia ditahan dalam serbuan di kawasan Kalabakan, dekat sini, malam tadi.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan jam 10.22 malam oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan ketika menjalankan rondaan cegah jenayah (RCJ) di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan pelbagai komponen senjata api yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah suspek.

“Antara yang dirampas iaitu satu laras senapang patah (bakakuk), satu laras senapang angin buatan sendiri, dua batang paip besi, satu rangka senjata api yang tidak lengkap dan tiga biji peluru pelbagai jenis.

“Semua barangan itu ditemui dalam kain hitam yang disembunyikan dalam semak berhampiran rumah suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lelaki ditahan kerana memiliki senjata api buatan sendiri di Kalabakan, Tawau.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kalabakan sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Champin turut menegaskan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki atau menyimpan senjata api tanpa lesen dan akan terus memperhebatkan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa. – Info X