LAHAD DATU: Polis menahan empat lelaki kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco, di sini, semalam.
Lebih mengejutkan, serbuan oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, jam 4.30 petang itu membawa kepada rampasan bukan sahaja dadah, malah senapang angin dan pedang samurai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, empat lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah diberkas dalam serbuan itu.
“Pasukan serbuan turut merampas 62.35 gram syabu dianggarkan bernilai RM6,858.50 serta senjata berbahaya iaitu lima butir peluru penabur, satu laras senapang angin dan sebilah pedang samurai.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dan sumber bekalan dadah berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960,” katanya. – Info X