PUTATAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas sebulat suara mengusulkan agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak solo jika tidak diberi keutamaan sebagai parti dominan dalam kerjasama dengan parti nasional pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata usul itu selaras dengan kenyataan Presiden Gagasan Rakyat yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu supaya GRS terus dominan.
“Kita mengikuti amanat presiden bahawa kerjasama di antara GRS dan PH mesti dimeterai tetapi sekiranya GRS tidak diberi keutamaan, tidak dijadikan parti dominan di Sabah ini, maka kita menyokong kenyataan presiden untuk bergerak secara solo.
“Ini kerana kita faham parti lokal ini merupakan satu parti yang sesuai dengan aspirasi rakyat Sabah pada masa sekarang, iaitu sesuai dari segi budayanya, sesuai dari segi keutamaan dan realistik dengan keadaan pada hari ini.
“Sekiranya kerjasama ini membelakangi, tidak menitik beratkan mengenai GRS ini, maka kita bersedia untuk menyokong supaya GRS bergerak solo,” katanya.
Beliau ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Petagas yang disempurnakan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju GRS, sama ada wajar bergerak solo atau bekerjasama dengan PH pada PRN17 nanti, Isquzawan berkata perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan.
“Sebab dalam kita ingin membawa negeri Sabah ini ke satu tempat yang lebih baik, tidak ada salahnya juga untuk kita buka meja rundingan supaya apa-apa kemudahan yang kita mahu dapat diturunkan, disalurkan di negeri Sabah ini.
“Tapi yang penting, jangan menidakkan parti GRS ataupun kerajaan GRS yang ada pada masa sekarang,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan lebih ramai calon muda perlu diketengahkan pada pilihan raya kali ini, terutama di kawasan yang ramai pengundinya terdiri daripada golongan muda.
“Bagi kami, hasrat Gagasan Rakyat Petagas ini, kita haruslah mengetengahkan calon yang betul-betul menjiwai, mendekati dengan rakyat sesuai dengan pengundi kita.
“Kalau kita lihat, pengundi di bawah 40 tahun di Petagas ini mencapai sehingga 60 peratus. Jadi kita boleh lihat bahawa orang muda ini, kecenderungan mereka adalah mencari pemimpin yang muda supaya mereka mampu mendekati dan juga menyampaikan hasrat yang mereka mahu untuk diterjemahkan di kawasan.
“Itulah bagi saya, mesej ini jelas. Kita menghadapi pilihan raya yang memastikan bahawa pengundi 18 tahun ini juga terlibat dalam membuat pilihan. Jadi adalah lebih baik pemimpin yang diketengahkan itu adalah golongan yang boleh mendekatkan mereka, keseimbangan itu perlu ada,” katanya.
Katanya, beliau bukan bermaksud bahawa pemimpin muda harus diketengahkan di seluruh Sabah tetapi perlu ada keseimbangan di antara pemimpin lama dan yang baharu.
Apa yang penting, katanya pemimpin yang dipilih mampu memberi kemenangan kepada GRS untuk kembali membentuk kerajaan selepas PRN17 nanti. – Info X