Search

Warga emas ditemui selamat, selepas hilang di hutan

June 28, 2025

Info X Reporters

MEMBAKUT: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencari rebung di hutan Kampung Kiulu Lumat, di sini, semalam ditemui selamat pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Ishak Jabas berkata, mangsa Banggul@Maicheal Dumat, 77, pulang sendiri ke rumahnya dalam keadaan selamat pada jam 6.20 pagi tadi.

Katanya, hasil percakapan dengan mangsa, dia cuba keluar dari kawasan hutan itu namun tetap berpusing di lokasi yang sama sehingga hari semakin gelap.

“Disebabkan keadaan yang mengelirukan dan gelap, mangsa terpaksa bermalam di hutan tanpa makanan dan kelengkapan.

“Namun pagi tadi mangsa berjaya keluar sendiri dari kawasan berkenaan dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian ke rumah mangsa bagi memastikan mangsa dalam keadaan baik.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 7.12 pagi,” katanya.

Terdahulu, Banggul@Maicheal itu dilaporkan hilang selepas keluar mencari rebung di hutan di kampung berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Namun mangsa tidak pulang ke rumah, menyebabkan ahli keluarga membuat laporan kepada pihak berkuasa sebelum operasi SAR dilakukan. – Info X