Search

40 emas sasaran SUKMA Sabah

February 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mengekalkan sasaran 40 pingat emas untuk dimenangi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor pada Ogos depan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sasaran itu dikekalkan dengan harapan agar kali ini ia dapat dicapai melalui 36 jenis sukan yang bakal disertai atlet Sabah.

Katanya, kerajaan negeri turut mengekalkan insentif kemenangan sebanyak RM10,000 bagi satu pingat emas yang dimenangi sebagai dorongan kepada atlet dari negeri ini untuk memenangi sebanyak mungkin pingat emas.

“Memang setiap pingat yang dimenangi oleh atlet-atlet Sabah kita sediakan insentif yang sudah kita tetapkan, cuma masalahnya sekarang berapa emas yang kita boleh dapat dan berapa ramai atlet yang boleh mencipta kemenangan.

“Jadi ini adalah satu komitmen kerajaan khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri yang berharap agar atlet-atlet Sabah dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan pencapaian yang cemerlang.

“Ini sudah pasti akan mendapat insentif daripada kerajaan sebagai satu penghargaan dan mengiktiraf kejayaan mereka itu. Insentif untuk pingat emas akan mendapat RM10,000, jadi kekallah,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan insentif kemenangan krpada atlet Sabah di SICC, di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, katanya daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA kali ini, atlet Sabah akan mengambil bahagian dalam 36 jenis sukan.

“Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) bahawa sasaran kita adalah 40 emas, jadi kita berharap agar sasaran ini dapat kita capai,” katanya. – Info X