KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan insentif kemenangan atlet berjumlah RM807,050 kepada semua pemenang pingat kejohanan sukan kebangsaan dan antarabangsa dari negeri itu pada tahun lalu.
Insentif itu disampaikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis penyerahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang Khamis.
Nizam berkata jumlah itu merangkumi insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa bagi sukan ‘able’ dan insentif bagi pencapaian atlet PARA yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan sukan disertai mereka pada tahun lalu.
“Penyerahan insentif pada hari ini adalah untuk meraikan kejayaan atlet-atlet kita yang cemerlang sepanjang tahun 2025. Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang berjaya memenangi pingat untuk Sabah dan Malaysia sepanjang perjuangan tahun lalu.
“Penyerahan insentif keseluruhannya membabitkan sebanyak RM807,050. Dari jumlah itu, dipecahkan kepada dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan `able’ iaitu sebanyak RM269,850 dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA iaitu sebanyak RM537,200,” katanya.

Katanya, walaupun pemberian insentif kemenangan itu agak besar tetapi berbaloi dibelanjakan oleh kerajaan negeri demi menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah, sejajar usaha kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah untuk melahirkan atlet bertaraf dunia.
“Pada masa yang sama kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan juga dapat membina kehidupan mereka yang lebih berkualiti dan sihat, selain membina sahsiah yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, ketrampilan dan semangat patriotik kepada negara.
“Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh kerajaan, kerana atlet dan anak-anak muda kita pada hari ini merupakan generasi yang akan memacu masa depan negeri dan negara ini,” katanya.
Pada majlis yang sama, Nizam turut menyerahkan geran daripada kerajaan negeri Sabah berjumlah RM3.1 juta kepada 51 persatuan sukan di negeri ini yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan.
“Selaku Menteri, saya menegaskan kepada semua persatuan sukan agar dapat menggunakan bantuan kewangan dari kerajaan negeri ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien dan bertanggungjawab.
“Saya mahu perbelanjaan yang telah dibuat ini dapat dikembalikan kepada kementerian ini dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh diguna pakai untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini,” katanya. – Info X