KOTA KINABALU: Seorang lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pagi ini, untuk didakwa atas tuduhan membunuh seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada 12 Februari lalu.
Lelaki berusia lingkungan 70-an itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki van milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 8.25 pagi dengan kawalan ketat.
Kenderaan berkenaan turut diiringi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna oren dilihat bergari ketika dibawa masuk ke pekarangan mahkamah.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun mengesahkan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Esok kita akan tuduh suspek di mahkamah.
“Tiga lagi individu yang juga anak suspek utama mungkin dijadikan saksi pendakwaan dalam kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini.
Pembunuhan itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa hasil risikan serta petunjuk diperoleh di lokasi kejadian.
Siasatan lanjut kemudian membawa kepada penahanan anak lelaki suspek berusia lingkungan 20-an, diikuti dua lagi anak suspek yang juga wanita bagi membantu siasatan berhubung peranan serta pengetahuan mereka mengenai kejadian berkenaan. – Info X