Search

Jalan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau bakal dinaik taraf lebuh raya

February 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Laluan Tamparuli – Kiulu – Rondogung Ranau bakal dinaik taraf sebagai lebuh raya menerusi jajaran alternatif projek Pan Borneo Highway Fasa Dua di Sabah.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika menjawab pertanyaannya pada sesi Soalan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan naik taraf tersebut melibatkan tiga jajaran utama dengan reka bentuk R4.

“Jalan Kiulu – Pahu akan dinaik taraf kepada empat lorong sepanjang 24.8 kilometer.

“Selain itu, Jalan Pahu – Rondogung akan dinaik taraf kepada dua lorong dengan reka bentuk R4 sepanjang 21.66 kilometer, manakala Jalan Pahu – Tamparuli turut disenaraikan untuk dinaik taraf sepanjang 15.72 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, projek berkenaan dijangka dilaksanakan menerusi pakej seterusnya selepas penyempurnaan fasa semasa Pan Borneo Sabah.

Terdahulu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya menyatakan sama ada kerajaan bercadang menaik taraf Jalan Tamparuli – Ranau menjadi lebuh raya berikutan masalah kesesakan yang semakin ketara, khususnya di sekitar pekan Tamparuli dan laluan ke Tuaran.

Menjawab perkara itu, Ahmad memaklumkan setakat ini tiada perancangan segera untuk menaik taraf laluan berkenaan memandangkan data terkini pada 2024 menunjukkan Tahap Perkhidmatan Jalan (Level of Service, LOS) masih berada pada tahap LOS A, iaitu masih mampu menampung aliran trafik sedia ada.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan cadangan supaya satu kajian semula dijalankan bagi menilai tahap LOS terkini, memandangkan data yang digunakan adalah berdasarkan maklumat dua tahun lalu.

“Saya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat kajian terkini mengenai tahap LOS sebenar di kawasan pekan Tamparuli dan Tuaran seperti yang dibangkitkan.

“Sebagai langkah sementara, kita juga akan berbincang dengan pihak trafik bagi memastikan tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya lagi.

Langkah naik taraf itu dilihat mampu memberi impak positif terhadap kelancaran trafik, merancakkan pembangunan kawasan pedalaman serta meningkatkan kesalinghubungan antara Tamparuli, Kiulu dan Ranau pada masa akan datang. – Info X