RANAU: Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kundasang, semalam.
Operasi bersepadu hasil risikan dan maklumat awam itu membabitkan empat lokasi berasingan di daerah ini dan dijalankan oleh 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, sebanyak 48 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dan 40 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
“Daripada jumlah itu, 26 adalah lelaki dewasa, enam wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang merupakan warga Indonesia dan Filipina.
“Semua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Menurutnya, JIM Sabah akan terus memperhebat operasi di kawasan panas yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan PATI.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang bersubahat termasuk melindungi atau menggaji PATI.
“JIM Sabah turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI bagi membanteras masalah ini secara berkesan,” katanya. – Info X