KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah kekal dengan pendirian tidak akan menyertai pakatan yang tidak berteraskan prinsip bersama semata-mata untuk mengelak pertembungan pada Pilihan Raya. Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata politik bukan sekadar pertimbangan calon dan kerusi, tetapi melangkaui persoalan nilai, keikhlasan dan integriti.
Katanya, jika pakatan dibentuk hanya mahu mengelak pertembungan calon, ia bukan lagi politik kerjasama, sebaliknya sebuah pakatan panik yang dibungkus cantik demi mengaburi kelemahan masing-masing.
“BN Sabah akan bertanding sebagai parti yang ada akar, bukan dahan yang rapuh. Kita akan masuk gelanggang PRN dengan maruah, dengan prinsip dan dengan rekod yang membuktikan kita layak untuk kembali memimpin.
“Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan jelas dan tegas sejak awal menyatakan pendirian bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang tidak jujur, tidak ikhlas, serta cenderung menikam rakan sendiri dari belakang.
“Dalam politik, sekali dikhianat itu pengalaman. Jika kita terpedaya lagi, itu kebodohan kita sendiri. Sudah tahu dia ular, takkan kita biar diri dipatuk dua kali,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Beliau memberi maklum balas terhadap kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang menolak cadangan gabungan Pakatan Harapan (PH) – BN – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu.
Datu Rosman berkata BN Sabah menyambut baik kenyataan Masiung itu yang disifatkannya sebagai menyentuh satu noktah yang benar bahawa gabungan itu bukan berasaskan perjuangan meskipun datang daripada orang yang dianggapnya sebagai ‘katak oportunis’ kerana melompat parti.
“Akhirnya, jika benar Masiung sudah insaf dan memahami pentingnya kejelasan prinsip, maka kita alu-alukan kenyataan beliau. Tapi jangan sampai hari ini bersetuju, esok melompat lagi, itu sudah jadi penyakit politik, bukan strategi.
“UMNO Sabah tidak akan menjadi alat kepada mana-mana percaturan panik. Kita adalah nadi perjuangan rakyat Sabah,” katanya.
Dalam kenyataannya, Datu Rosman turut mengulas mengenai ‘Langkah Kinabalu’ yang disebut dalam kenyataan Masiung kononnya GRS telah hilang kepercayaan terhadap UMNO/BN kerana pernah mengkhianati jalinan kerjasama bersama GRS dan PH menerusi ‘Langkah Kinabalu’.
Datu Rosman menyangkal tuduhan itu dan menjelaskan bahawa apa yang disebut sebagai ‘Langkah Kinabalu’ itu bukan pengkhianatan, tapi satu reaksi terhadap ketidaktelusan dan kerakusan kuasa yang berlaku dalam senyap.
“Jika ada mana-mana pemimpin dalam GRS yang menuduh BN sebagai pihak yang menikam dari belakang, mereka patut cermin sejarah mereka sendiri bagaimana mereka membentuk kerajaan dengan menolak mandat rakyat dan bagaimana mereka terus mempertahankan kuasa tanpa asas prinsip yang kukuh.
“Masiung menyatakan bahawa GRS telah hilang kepercayaan terhadap BN. Hairannya, kenyataan ini keluar daripada mulut seorang ahli politik yang rekodnya memperlihatkan lompatan politik demi kepentingan peribadi,” katanya. – Info X