Search

Siasat kes Zara secara menyeluruh – PAADIAN

August 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) menyatakan harapan agar kes kematian Zara Qairina Mahathir disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

Setiausaha Agungnya, Mas Farisan Salleh, berkata pihaknya juga yakin kes itu disiasat dengan teliti dari segenap aspek berhubung punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Kinarut itu.

“Sepanjang masa ini, kami menunggu dengan penuh sabar sebarang perkembangan terkini berhubung kes ini.

“Kami amat berharap dan yakin bahawa kes ini akan disiasat secara menyeluruh dari segenap aspek oleh pihak berwajib.

“Setelah hampir tiga minggu berlalu, belum ada lagi keputusan siasatan. Oleh itu, bersama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT memberikan kemudahan dan kelancaran agar kes ini dapat diselesaikan dengan segera dan segala persoalan dapat terungkai sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, PAADIAN menyifatkan pemergian Zara adalah tragedi yang menyayat hati, mendatangkan kesedihan yang mendalam dan kehilangan besar buat keluarga Allahyarhamah dan masyarakat Kadayan amnya.

“Moga ibu serta keluarga Allahyarhamah tetap tabah dan diberikan kekuatan menghadapi dugaan besar ini.

“Kami, Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) dan masyarakat Kadayan Sabah, sejak dari hari pertama pemergian Allahyarhamah Adik Zara pada 16 Julai 2025, mengikuti rapat perkembangan kes ini.

“YB Datuk Presiden PAADIAN dan rombongan juga telah beberapa kali menziarahi Ibu Allahyarhamah Adik Zara,” katanya.

Selain itu, katanya pada 31 Julai lalu, PAADIAN dengan kerjasama pengerusi dan imam masjid serta surau di semua zon PAADIAN, iaitu di Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Kota Kinabalu mengadakan bacaan tahlil khusus untuk Allahyarhamah Zara.

“Bersama-samalah kita memanjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga roh Allahyarhamah Zara Qairina Binti Mahathir dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman, beramal soleh dan bertaqwa,” katanya. – Info X