Search

Polis Tenom tumpaskan penyeludupan minuman keras RM380,000

August 5, 2025

Info X Reporters

TENOM: Polis Tenom menumpaskan kegiatan penyeludupan minuman keras tanpa cukai membabitkan nilai rampasan RM380,000 dalam serbuan di Jalan Kemabong-Tenom, di sini, semalam.

Operasi melalui Op Kontraban hasil risikan dan maklumat orang awam, yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 50 tahun bersama dua lori sarat muatan minuman keras tidak bercukai.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, rampasan membabitkan 800 karton minuman keras disyaki tanpa cukai dan dua lori.

Superintendan Azmir Abd Razak.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM380,000 dengan anggaran nilai cukai sebanyak RM96,000.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minuman keras yang dirampas Jalan Kemabong-Tenom.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan IPD Tenom dalam membanteras aktiviti penyeludupan di daerah ini.

Katanya, kerjasama orang awam amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi memastikan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya demi kesejahteraan masyarakat. – Info X