Search

Cuba tipu untuk dapatkan MyKad

August 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan MyKad.

Kedua-dua suspek ditahan dalam dua kes berasingan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Sandakan, semalam.

Menerusi kenyataan JPN Sabah di Facebook rasminya berkata, dalam kes pertama, seorang wanita tempatan ditahan kerana disyaki memberi maklumat palsu sebagai penganjur dalam permohonan MyKad.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(h) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

Menurutnya, kes kedua membabitkan seorang lelaki warga Indonesia ditahan di lokasi sama atas kesalahan menggunakan sijil kelahiran milik orang lain untuk permohonan MyKad.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya.

Sehubungan itu, menurutnya JPN Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan maklumat bagi tujuan permohonan dokumen pengenalan diri. – Info X