TONGOD: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, menyifatkan hasrat Perdana Menteri itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai kerana ia memerlukan persefahaman dengan ketiga-tiga gabungan parti.
“Tidak mungkin persefahaman itu dapat dicapai kerana ia akan mengelirukan pengundi, lagipun GRS dan PH sudahpun terlebih dahulu mencapai kata sepakat untuk meneruskan kerjasama politik,” katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri berhubung kerjasama PH-BN-GRS.
Perdana Menteri yang ditemui media selepas perjumpaan bersama PKR Sabah di sini pada Ahad menyatakan akan berusaha mencapai rundingan GRS-BN dan PH supaya tiada pertembungan ketiga-tiga gabungan parti itu pada PRN17.
Masiung berkata, jika kerjasama tiga gabungan parti itu berlaku Gagasan Rakyat berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau supaya Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor mengetuai rundingan pembahagian kerusi.
Beliau berkata, pada dasarnya Gagasan Rakyat yang menjadi tonggak GRS tidak bersetuju dengan cadangan Anwar supaya tiga gabungan parti itu menjalinkan hubungan ‘cinta tiga segi’.
Jelasnya, GRS dan PH Sabah sudah sebati dengan kerjasama politik yang sedia wujud dalam mengurus pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.
Katanya, GRS telah hilang kepercayaan terhadap UMNO/BN kerana pernah mengkhianati jalinan kerjasama bersama GRS dan PH menerusi ‘Langkah Kinabalu’.
Masiung berkata, sejak peristiwa Langkah Kinabalu yang dirancang oleh parti itu, pemimpinya terus meniupkan sentimen permusuhan dan memperlekehkan GRS dengan pelbagai taktik dan strategi.
“Dalam masa sama UMNO/BN Sabah juga telah mengambil keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan GRS.
“Kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian kami dan mengotakan janjinya menyerahkan kepada pengerusi GRS (Hajiji) mengetuai rundingan kerusi kepada parti-parti dalam pakatan politik menjelang PRN17,” katanya. – Info X