Search

Ibu Zara minta kertas siasatan dikembalikan kepada polis untuk siasatan semula

August 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta kertas siasatan yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini dikembalikan kepada polis untuk dibuka semula.

Menerusi satu kenyataan pada Selasa, peguam dilantik keluarga arwah menyatakan menghantar surat kepada Peguam Negara bagi memohon perkara itu demi keadilan.

Katanya, bagi tujuan siasatan semula, keluarga arwah meminta proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

Selain itu, katanya keluarga arwah turut meminta kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca sebenar kematian.

Kenyataan itu menyebut, satu inkues perlu diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.

“Kami berharap Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues tersebut,” katanya.

Katanya, permintaan itu dibuat keluarga Zara selepas mendapati ada kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan yang diterima Jabatan Peguam Negara sebelum ini.

“Siasatan yang dijalankan adalah kecil skopnya dan terhad fokusnya kerana perkara-perkara berikut; pertama, bedah iasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya.

“Kedua, pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara semasa dia ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 tidak diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.

“Ketiga, keterangan anak guam kami berkenaan kesan lebam di bahagian belakang Zara hanya diambil pada petang 3 Ogos 2025 dan petang 4 Ogos 2025 di Balai Polis Sipitang.

“Kami percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif perkara ini kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat, dan pakaian dan barang peribadi Zara.

“Apatah lagi wujudnya kekangan masa untuk menyiasat kerana laporan kes siasatan dihantar pada 4 Ogos 2025 di Putrajaya,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut mengenai penularan isu ‘plot twist’ sejak minggu lalu di beberapa platform media sosial kononnya kematian Zara adalah akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri.

“Ia memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan. Kertas yang dikatakan ‘diari` milik Zara adalah sumber penularan tersebut sehingga ianya dilabel sebagai ‘bukti berjisim’.

“Jika kertas itu adalah sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis selepas kematiannya, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya. Akibatnya, integriti siasatan telah tergugat,” katanya.

Katanya, ibu Zara tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan, sebaliknya hanya mahukan keadilan untuk Zara.

“Dia sentiasa bersedia untuk membantu polis dalam siasatan. Oleh itu, pada hari ini, kami akan menyerahkan semua pakaian dan barang Zara kepada polis. Polis telah menghubungi kami semalam bagi tujuan ini.

“Kami berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang telah menularkan kes ini demi mencapai keadilan buat Zara seperti membuat solidariti melalui perhimpunan aman oleh mahasiswa dan pengumpulan tandatangan oleh kaki-kaki pancing, membuat lagu dan sajak, dan perkongsian status dan berita di semua platform media sosial.

“Dalam masa yang sama, elakkan membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak,” katanya. – Info X