Search

Belanja sakan guna kad ATM orang lain

August 5, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga beradik wanita ditahan polis semalam selepas disyaki ‘ligat’ menggunakan kad ATM milik orang lain yang ditemui tercicir untuk membeli pelbagai barangan keperluan peribadi.

Difahamkan, suspek yang juga warga tempatan itu membuat pembayaran secara payWave di beberapa premis sekitar daerah ini menggunakan kad ATM Agro Bank yang bukan milik mereka.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu selepas menerima laporan daripada mangsa.

“Mangsa membuat laporan polis selepas menyedari kad ATM miliknya hilang dan hasil semakan dengan pihak bank, didapati kad itu digunakan tanpa kebenaran di beberapa pusat beli-belah.

“Siasatan lanjut berjaya mengesan dan menahan tiga suspek yang juga adik-beradik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997. – Info X