SANDAKAN: Kira-kira 400 penghuni hilang tempat tinggal selepas lebih 90 rumah di perkampungan atas air di Kampung Cenderamata, Batu Sapi, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 3 pagi dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat sehingga memusnahkan puluhan lagi rumah yang terletak berhampiran.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.48 pagi.

Katanya, kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lupak Meluas, Batu Sapi.
“Pendaftaran masih dijalankan dan kaunter laporan polis turut dibuka di PPS terbabit bagi memudahkan membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Menurutnya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi memadam kebakaran membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB). – Info X