Search

417 PATI Filipina dihantar pulang hari ini selepas PATI Indonesia semalam

May 29, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 417 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dipindahkan dari Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal, hari ini.

Semua PATI terbabit adalah tahanan di Depot Sandakan yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Mereka adalah kumpulan PATI dari negara jiran yang kedua dihantar selepas seramai 232 PATI warga Indonesia dihantar pulang semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, bagi penghantaran pulang PATI Filipina hari ini, ia membabitkan tahanan dari Depot Sandakan.

Katanya, penghantaran pulang itu membabitkan seramai 349 lelaki dan 41 wanita menggunakan pengangkutan laut ke Zamboanga City, Filipina.

Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 27 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Ini adalah program pemindahan siri 9 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia.

“Semua PATI berusia lingkungan satu bulan hingga 66 tahun dan kanak-kanak yang terbabit untuk penghantaran pulang kali ini adalah bersama ibu atau bapa atau penjaga masing-masing.

“Semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebahagian PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Pelabuhan Sandakan. – Foto/JIM

SH Sitti Saleha berkata, PATI yang terbabit pada kali ini adalah tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Sandakan sahaja.

“Seramai 2,437 tahanan warga Filipina telah dipindahkan dalam 2024 ke negara asal membabitkan pengangkutan laut dan udara.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” katanya.

Menurutnya, kekerapan program pemindahan tahanan warga Filipina yang dilaksanakan oleh JIM Sabah juga adalah tertakluk dengan kerjasama strategik daripada pihak kedutaan Filipina dalam mempercepatkan proses dokumentasi bagi tahanan.

“Seterusnya mengeluarkan dokumen perjalanan (travel dokument) untuk tahanan warga Filipina bagi membolehkan tahanan terbabit dipindahkan ke negara asal.

“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI selepas mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara,” katanya. – Info X