KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang untuk mewujudkan hubungan laut di antara Kudat dengan Palawan, Filipina bagi merancakkan ekonomi di daerah utara Sabah itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu sudah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang baru-baru ini melawat ke daerah itu dengan diiringi Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.
Katanya, hubungan laut kedua-dua wilayah itu disasar mampu mengaktifkan aktiviti ekonomi khususnya perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ di Kudat.
“Dengan mewujudkan perkhidmatan feri (Kudat-Palawan), perdagangan tukar barang di Kudat boleh dihidupkan semula.
“Aktiviti tukar barang dapat membantu menghidupkan semula ekonomi Kudat,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Ketua Menteri Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, katanya pembukaan Pelabuhan Kudat juga boleh dijadikan tempat berlabuh kapal dari Mindanao, selatan Filipina ke Labuan.

“Sekarang ini, kapal membawa barangan dari Mindanao Selatan akan belayar terus ke Labuan. Jika membuka Pelabuhan Kudat, kita boleh memanfaatkan laluan perkapalan Mindanao Selatan-Labuan,” katanya.
Hajiji berkata, Pelabuhan Kudat akan dilengkapkan dengan semua fasiliti perlu khususnya kastam, imigresen, kuarantin dan pemeriksaan keselamatan.
Katanya, beliau turut membincangkan perkara itu dengan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi melihat aspek keselamatan untuk dibincangkan dalam Majlis Keselamatan Negeri.
Sementara itu, Hajiji mengingatkan semua pegawai kerajaan negeri supaya memahami sepenuhnya maksud dasar ‘Sabah First’ atau Sabah Diutamakan.
“Sabah First bermaksud kita mesti mengutamakan kepentingan Sabah dalam semua usaha. Pelabur asing dan bukan dari Sabah yang membuka usahasama perniagaan di sini mesti mempunyai pegangan tempatan Sabah sebanyak 30 peratus,” katanya.
Beliau berkata, Kabinet negeri juga meluluskan semakan semula Skim Pembaharuan Perbandaran Sembulan yang dikemukakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Katanya, menerusi skim itu kerajaan bersetuju untuk membenarkan pemilik tanah terus tinggal di sana apabila pembangunan selesai dengan pampasan kewangan yang dipersetujui.
Dalam satu lagi perkara, Hajiji mengumumkan Sabah akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu pada 16 September depan.
Beliau berkata, jawatankuasa penganjur sambutan itu akan dipengerusikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. – Info X