Search

491 kes mahkamah difail terhadap kerajaan negeri, kebanyakannya babitkan JTU, JANS

April 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berdepan sebanyak 491 kes mahkamah yang difailkan pelbagai pihak antara 2019 hingga 2023, kebanyakannya membabitkan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagaimanapun berkata daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes berjaya dimenangi kerajaan negeri, termasuk kes yang dibuang dan diketepikan oleh mahkamah.

Jelasnya, sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri hanya kalah sebanyak tiga kes, manakala sebanyak 378 kes pula adalah kategori kes yang mana kerajaan negeri mematuhi perintah mahkamah dan kes digugurkan oleh mahkamah.

“Kebanyakan kes yang diterima adalah kes terhadap JTU dan JANS. Bagi kes terhadap JTU, sepanjang tempoh 2019 sehingga 2023, sebanyak 221 kes difailkan, kebanyakan kes membabitkan pengambilan tanah terutama bagi projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek pembangunan kerajaan negeri serta persekutuan.

“Bagi kes terhadap JANS pula, kebanyakan kes membabitkan kerja-kerja yang sudah dilaksanakan namun pembayaran tidak dapat dibuat. Punca utama tunggakan pembayaran adalah disebabkan dokumen yang tidak lengkap.

“Hal ini berlaku kerana dokumen terbabit disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes JANS sehingga menyebabkan pembayaran kepada kontraktor tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Jabatan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, sebanyak 120 kes mahkamah dikaitkan dengan JANS membabitkan jumlah tuntutan sebanyak RM14.72 juta, namun semua kes berkenaan sudah diselesaikan dan dibayar. – Info X