Search

STB jumpa duta asing beri keyakinan Sabah selamat dikunjungi

April 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menemui kedutaan asing yang mempunyai nasihat perjalanan kurang baik terhadap Sabah di ibu negara, bulan depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, berkata langkah itu bagi meyakinkan kedutaan negara terbabit bahawa Sabah selamat dikunjungi warga mereka.

Beliau berkata, pendekatan proaktif itu berikutan masih ada negara yang mengekalkan nasihat perjalanan atau meletakkan Sabah sebagai zon merah untuk dilawati.

“Pada bulan Mei 2024 ini, Lembaga Pelancongan Sabah akan mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan kedutaan negara-negara yang mempunyai nasihat perjalanan kurang baik terhadap negeri Sabah.

“Pertemuan itu untuk meyakinkan kedutaan terbabit bahawa Sabah adalah negeri yang selamat untuk warga mereka lawati,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Sebelum ini beberapa negara, antaranya Amerika Syarikat dan Britain mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya yang berhasrat mengunjungi Sabah atas alasan isu keselamatan.

Christina berkata, kementeriannya berusaha untuk mengeluarkan Sabah daripada senarai zon merah kerana memberi kesan langsung terhadap kedatangan pelancong, khususnya di pantai timur Sabah.

“Kementerian juga sudah mengemukakan pandangan dalam konteks dan perspektif serta impak kepada pelancongan negeri kepada l Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) di bawah Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. – Info X